Constitution

An English version of this constitution will be available soon.

Perlembagaan

Mobile Learning Association of Malaysia

FASAL 1: NAMA

(1) Pertubuhan ini dikenal dengan nama PERSATUAN m-PEMBELAJARAN MALAYSIA selepas ini disebut “Persatuan”.

 

FASAL 2: TEMPAT URUSAN

(2) Alamat dan tempat urusan Persatuan ialah Pusat Pembangunan Akademik, UKM  atau di tempat lain atau tempat-tempat yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa, dan alamat untuk surat menyurat ialah  Pusat Pembangunan Akademik, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 Bangi, Selangor, Malaysia. Tempat urusan berdaftar dan alamat surat menyurat Persatuan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Persatuan terlebih dahulu.

 

FASAL 3: LOGO, WARNA & COGANKATA

(a) Reka bentuk logo yang dihasilkan secara keseluruhannya menvisualkan satu persekitaran pembelajaran terkini dan dinamis dengan mengambilkira penggunaan teknologi komunikasi global.

(b) Penampilan warna: jingga bermaksud semangat yang sentiasa bersemarak; hitam bermaksud kesungguhan dan tekad ahli persatuan dalam mendokong aspirasi persatuan; dan perak bermaksud tekonologi yang sentiasa bergerak seiring dengan teknologi komunikasi terkini.

(c) Cogankata bagi Persatuan ini ialah FUTURISTIC, DYNAMIC, VERSATILE

 

FASAL 4: TUJUAN / MATLAMAT

Persatuan ini ditubuhkan bertujuan untuk:-

(a)   Menjadi peneraju dalam aplikasi teknologi mobile dalam pendidikan, latihan, penyelidikan dan interaksi sosial.

(b)   Menghimpun pakar dan profesional serta mereka yang berminat dalam bidang ini.

(c)   Mengumpul dan menyebarkan maklumat berkenaan perkembangan terkini dalam

penyelidikan, pembangunan kandungan dan aplikasi mobile.

(d)   Mempromosi kecemerlangan m-Pembelajaran melalui penyelidikan, pembangunan, penerbitan, seminar/persidangan dan perundingan.

 

FASAL 5: DERMA DAN SUMBANGAN

(1) Semua sumbangan yang diterima oleh Jawatankuasa hendaklah diakui penerimaannya oleh Bendahari Kehormat dengan mengadakan resit rasmi Persatuan yang bernombor siri kepada penyumbang tersebut.

(2) Jawatankuasa berhak untuk menerima, menolak dan / atau menerima dengan syarat sumbangan bagi pihak Persatuan melainkan ianya dibenarkan secara bertulis oleh Setiausaha Kehormat atau Bendahari Kehormat.

(3) Semua ahli Persatuan tidak dibenarkan mengutip sumbangan bagi pihak Persatuan melainkan ianya dibenarkan secara bertulis oleh Setiausaha Kehormat atau Bendahari Kehormat.

 

FASAL 6: KEAHLIAN

(1) Keahlian terbuka kepada mereka yang berminat.

(2) Setiap permohonan menjadi ahli hendaklah dihantar kepada Setiausaha Kehormat Persatuan yang dikehendaki mengemukakan permohonan tersebut dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk pertimbangan dan kelulusan. Jawatankuasa boleh mengikut budibicaranya menerima atau menolak sebarang permohonan. Pemohon boleh merayu kepada jawatankuasa sekiranya permohonan ditolak. Walau bagaimanapun keputusan Jawatankuasa adalah muktamad.

(3) Setiap pemohon yang telah diluluskan permohonannya seperti yang tersebut di atas, hendaklah membayar yuran pendaftaran seperti yang ditetapkan oleh Persatuan.

 

FASAL 7: BAYARAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN LAIN

(1) Yuran Pendaftaran Keahlian RM 20.00 (Ringgit Malayisa Dua Puluh Sahaja);

(2) Yuran Tahunan RM 30.00 (Ringgit Malaysia Tiga Puluh Sahaja);

(3) Yuran Ahli Seumur Hidup adalah RM 200.00 (Ringgit Malaysia Dua Ratus Sahaja).

(4) Yuran tahunan hendaklah dijelaskan kepada Bendahari Kehormat sebulan sebelum Mesyuarat Agung.

(5) Ahli yang membiarkan hutang yurannya melebihi setahun akan menerima surat peringatan, dan sekiranya gagal melunaskan yuran ahli selama 2 tahun berturut-turut, akan  hilanglah hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga semua hutangnya yang tertunggak telah dijelaskan.

(6) Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli untuk perkara tertentu boleh dipungut dengan persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa.

 

FASAL 8: PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

(1) Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli Persatuan, hendaklah memberi kenyataan bertulis dua (2) minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha Kehormat dan menjelaskan segala hutangnya.

(2) Mana-mana ahli yang gagal mematuhi Perlembagaan Persatuan atau bertindak dengan cara yang akan mencemarkan nama baik Persatuan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa. Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantung keahlian tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungan keahliannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya secara lisan atau bertulis. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan Mesyuarat Agung Khas menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.

 

FASAL 9: MESYUARAT AGUNG

(1) Pengelolaan Persatuan ini terserah kepada Mesyuarat Agung ahli-ahli. Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi ATAU dua(2)kali ganda jumlah Jawatankuasa, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam Mesyuarat Agung mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi korum untuk mesyuarat.

(2) Jika korum tidak mencukupi sekurang-kurangnya selepas setengah (1/2) jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa; dan jika korum tidak cukup selepas setengah (1/2) jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalakan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda Perlembagaan Persatuan dan membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.

(3) Mesyuarat Agung Tahunan bagi Persatuan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada 31 Mei setiap tahun pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Notis mesyuarat hendaklah dihantar dalam tempoh satu bulan sebelum Mesyuarat Agung Tahunan.

(4) Agenda Mesyuarat Agung Tahunan ialah:

(a)  Menerima dan mengesahkan minit Mesyuarat Agung tahun sebelumnya.

(b)  Menerima laporan tahunan aktiviti Persatuan

(c)    Menerima dan mengesahkan penyata kewangan tahunan Persatuan yang disediakan oleh Bendahari Kehormat

(d)   Menerima dan membahaskan usul

(e)    Ucapan penangguhan Presiden

(5) Pada tahun berlakunya perlantikan Jawatankuasa baru untuk Persatuan maka dua agenda tambahan berikut hendaklah dilaksanakan:

(a) Pembubaran Jawatankuasa (2 tahun sekali)

(b) Perlantikan Jawatankuasa baru (2 tahun sekali)

(6) Mesyuarat Agung Khas bagi Persatuan ini boleh diadakan:

(a) Bila difikirkan perlu dan mustahak oleh Jawatankuasa, atau

(b) Atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang dari satu perlima (1/5) dari jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Kehormat Persatuan.

(7) Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh satu (1) bulan dari tarikh permintaan mesyuarat itu.

(8) Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha Kehormat kepada semua ahli selewat-lewatnya 14 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat.

(9) Fasal 9 (1) dan 9 (2) dalam Perlembagaan ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas, tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah (1/2) jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan  ahli itu maka Mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa enam (6) bulan dari tarik ini, Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.

(10) Setiausaha Kehormat hendaklah menghantar kepada setiap ahli satu salinan deraf peringatan Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Khas sebulan selepas selesainya mesyuarat itu.

 

FASAL 10: JAWATANKUASA

 

(1) Satu Jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan Ahli Jawatankuasa hendaklah dipilih dalam Mesyuarat Agung Tahunan:

(a) Seorang (1) Presiden;

(b) Seorang (1) Naib Presiden;

(c) Seorang (1) Setiausaha Kehormat;

(d) Seorang (1) Penolong Setiausaha Kehormat;

(e) Seorang (1) Bendahari Kehormat;

(f) Seorang (1) Penolong Bendahari Kehormat; dan

(g) Sepuluh (10) orang Ahli Jawatankuasa Biasa.

(2) Pemegang-pemegang jawatan Persatuan ini dan setiap Ahli Jawatankuasa yang menjalankan tugas eksekutif dalam Persatuan ini hendaklah terdiri daripada Warganegara Malaysia.

(3) Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Ahli Jawatankuasa Persatuan  dilantik untuk tempoh dua tahun.Seseorang itu tidak boleh memegang jawatan yang sama melebihi dua penggal.

(4) Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengatur aktiviti Persatuan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Persatuan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh Mesyuarat Agung. Jawatankuasa seharusnya tidaklah boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan Mesyuarat Agung. Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya dalam tahun lalu kepada setiap Mesyuarat Agung Tahunan.

(5) Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam Tiga (3) bulan. Pengumuman bagi setiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli Jawatankuasa Tujuh (7) hari terlebih dahulu. Presiden dengan bersendirian atau tidak kurang daripada empat (4) orang ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.

(6) Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha Kehormat bolehlah mendapatkan kelulusan daripada ahli Jawatankuasa secara pengedaran surat pekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima:

(a) Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada setiap ahli Jawatankuasa;

(b) Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu; dan

(c) Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak.

Sebarang keputusan yang didapati melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha Kehormat kepada mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam peringatan mesyuarat.

(7) Ahli Jawatankuasa yang gagal menghadiri mesyuarat Jawatankuasa tiga (3) kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa.

(8) Jika seorang ahli Jawatankuasa meninggal dunia atau meletak jawatan, calon yang kedua mendapat undian terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.

 

(9) Jawatankuasa boleh memberi arahan kepada Setiausaha Kehormat dan pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan Persatuan, dan melantik pengurus dan kakitangan yang difikirkannya mustahak. Ia boleh menggantung atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, ingkar menjalankan keputusan Jawatankuasa atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Persatuan.

(10) Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa kecil jika difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada sebarang ahli Jawatankuasa.

 

FASAL 11: KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI

(1) Presiden, dalam tempoh menyandang jawatannya, hendaklah menjadi Pengerusi semua mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani peringatan mesyuarat bila telah diluluskan. Ia hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Bendahari Kehormat dan / atau Setiausaha Kehormat.

(2) Naib Presiden hendaklah memangku jawatan Presiden semasa ketiadannya dan dalam tempoh masa tersebut Naib Presiden dianggap seperti Presiden dan segala hak kuasa adalah sama.

(3) Setiausaha Kehormat hendaklah menjalankan kerja pentadbiran Petubuhan mengikut Perlembagaan dan hendaklah ia menjalankan perintah Mesyuarat Agung dan Jawatankuasa. Ia bertangungjawab mengendalikan urusan surat menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas kecuali akaun dan buku-buku kewangan, Setiausaha Kehormat hendaklah menyimpan buku daftar ahli yang mengandungi butir-butir seperti nama, tempat dan tarikh lahir, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nama dan alamat majikan dan alamat rumah setiap ahli. Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat. Ia hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Presiden dan Bendahari Kehormat. Setiausaha Kehormat hendaklah dalam masa 60 hari dari tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan mengirim penyata tahunan Persatuan kepada Pendaftar Persatuan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14 (1), Akta Persatuan, 1966.

(4) Penolong Setiausaha hendaklah menolong Setiausaha Kehormat menjalankan kerja-kerjanya dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha Kehormat.

(5) Bendahari Kehormat adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Persatuan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya. Ia hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Presiden dan / atau Setiausaha Kehormat.

(6) Penolong Bendahari hendaklah menolong Bendahari Kehormat menjalankan kerja-kerjanya dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Bendahari Kehormat.

(7) Ahli Jawatankuasa biasa hendaklah membantu Jawatankuasa dalam menjalankan tugas yang diarahkan dari semasa ke semasa.

 

FASAL 12: BUKU DAFTAR

Jawatankuasa Persatuan hendaklah sentiasa menyedia, menyimpan dan mengemaskini buku-buku daftar seperti berikut:-

(a) Buku Minit Mesyuarat;

(b) Buku Daftar Keahlian;

(c) Buku Daftar Harta (boleh alih dan tidak boleh alih);

(d) Buku Daftar Pemiutang;

(e) Buku Daftar Derma / Sumbangan;

(f) Buku Daftar Pelawat;

(g) Buku Tunai, Lejar, Jurnal dan apa-apa buku yang berkaitan menyimpan rekod-rekod perakaunan dan transaksi kewangan Persatuan.

 

FASAL 13: KEWANGAN

(1) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam Perlembagaan ini wang Persatuan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Persatuan, termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji, pembiayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji serta upah memeriksa kira-kira. Walau bagaimanapun wang itu tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.

(2) Bendahari Kehormat dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM 300-00 (Ringgit Malaysia Tiga Ratus Sahaja) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa. Akaun bank itu hendaklah di atas nama Persatuan.

(3) Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari akaun Persatuan hendaklah ditandatangani bersama oleh Presiden, Bendahari Kehormat dan Setiausaha Kehormat.

(4) Perbelanjaan yang lebih daripada RM 5000-00 (Ringgit Malaysia Lima Ribu Sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa. Perbelanjaan yang kurang daripada RM 5000-00 (Ringgit Malaysia Lima Ribu Sahaja) bagi sesuatu masa boleh diluluskan oleh Presiden bersama Setiausaha Kehormat dan Bendahari Kehormat.

(5) Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari Kehormat dan diperiksa oleh Pemeriksa Kira-Kira yang dilantik di bawah Fasal 14 Perlembagaan ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukkan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan yang berikut dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di tempat urusan Persatuan.

(6) Tahun kewangan Persatuan ini bermula dari 1 Januari dan berakhir pada 31 Disember setiap tahun.

 

FASAL 14: PEMERIKSA KIRA-KIRA

(1) Dua orang yang bukannya ahli Jawatankuasa atau mana-mana pegawai Persatuan boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Pemeriksa Kira-Kira. Mereka akan memegang jawatan tersebut selama satu (1) tahun dan boleh dilantik semula.

(2) Pemeriksa kira-kira adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Persatuan bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Tahunan. Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Presiden mengaudit kira-kira Persatuan bagi mana-mana masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.

 

FASAL 15: PEMEGANG AMANAH

(1) Tiga (3) orang Pemegang Amanah yang berumur lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh Persatuan. Semua harta tetap kepunyaan Persatuan akan diamanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu Surat Ikatan Amanah (Deed of Trust).

(2) Pemegang Amanah tidak boleh menjual, menarik balik atau memindahkan hakmilik harta kepunyaan Persatuan dengan tidak mendapat kelulusan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Agung Persatuan.

(3) Seseorang Pemegang Amanah itu boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh Mesyuarat Agung di atas sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana sebab lain yang mengakibatkan ia tidak dapat menjalankan tugasnya atau pekerjaannya degan memuaskan. Jika berlaku kematian, perletakan jawatan atau pemecatan bagi seseorang Pemegang Amanah maka kekosongan itu bolehlah dipenuhkan oleh Pemegang Amanah yang baru yang dilantik di dalam Mesyuarat Agung.

 

FASAL 16: TAFSIRAN PERLEMBAGAAN

(1) Antara berlangsungnya Mesyuarat Agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada Perlembagaan ini dan Jawatankuasa, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam Perlembagaan ini.

(2) Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam Mesyuarat Agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan Mesyuarat Agung.

 

FASAL 17: PENASIHAT / PENAUNG

Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, melantik individu yang layak menjadi Penasihat / Penaung bagi Persatuan ini dengan syarat individu yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis. Jumlah perlantikan Penaung/Penasihat pada satu-satu masa tidak melebihi tiga (3) orang dan tempoh perlantikan setiap Penaung/Penasihat adalah untuk dua (2) tahun sahaja.

 

FASAL 18: LARANGAN

(1) Persatuan atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti definisi di dalam Akta Kesatuan Sekerja, 1959;

(2) “Faedah” seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2, Akta Persatuan 1966, tidak boleh diberikan oleh Persatuan kepada mana-mana ahlinya.

 

FASAL 19: PINDAAN PERLEMBAGAAN

Perlembagaan ini atau sebahagian daripadanya tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Agung. Permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada Perlembagaan hendaklah dibuat kepada Pendaftar Persatuan dalam masa 60 hari dari tarikh keputusan Mesyuarat Agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh perubahan atau pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Persatuan.

 

FASAL 20: UNDANG-UNDANG KECIL / PERATURAN

(1) Jawatankuasa mempunyai kuasa untuk mengolah dan membuat undang-undang kecil yang dipanggil Peraturan untuk memperkuat dan memantapkan pentadbiran, pengelolaan dan pengurusan Persatuan. Peraturan-peraturan tersebut hendaklah dimaklukan kepada semua ahli/ditampal di atas papan notis Persatuan/ dipaparkan dalam laman web selama tidak kurang dari Lima Belas (15) hari dari tarikh ianya diluluskan oleh Jawatankuasa;

(2) Peraturan-Peraturan tersebut akan mengikat dan mempunyai efek ke atas setiap ahli Persatuan.

(3) Satu (1) salinan Peraturan-Peraturan tersebut hendaklah dihantarkan kepada setiap ahli melalui pos biasa/ email/ paparan di laman web/ mesej mobile.

 

FASAL 21: PEMBUBARAN

(1) Persatuan ini boleh dibubarkan secara sukarela – dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang menghadiri dalam suatu Mesyuarat Agung yang dipanggil khas kerananya.

(2) Sekiranya Persatuan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Persatuan yang sah mengikut Perlembagaan hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Agung berkenaan.

(3) Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Persatuan dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran itu.

Kelulusan oleh Jab. Pendaftaran Persatuan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s